Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
GADONG, Selasa, 17 Februari. - Sempena Hari Puja Usia Ke-52 Tahun Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Solat Hajat di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Pesuruhjaya Polis, PPDB, CP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Turut hadir, para pengarah, timbalan pengarah, pegawai pemerintah, ketua formasi, pegawai serta anggota PPDB.
Majlis yang dikendalikan oleh Badan Ugama Islam (BUI) PPDB dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Hajat serta bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia Ke-52 Tahun Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.